Seperti kelaziman, setiap pasukan beruniform di sekolah pasti akan menganjurkan latihan mingguan. Di SMKRA, latihan mingguan KRS diadakan pada setiap hari sabtu bermula jam 8.00 pagi hingga jam 12.30 tengahari. Latihan mingguan ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh barisan Jurulatih yang terdiri daripada Ahli-ahli KRS Putera & Puteri tingkatan 4 dan turut dipantau oleh guru penasihat. Latihan mingguan KRS SMKRA kebiasaannya akan dipecahkan kepada 2 slot setiap minggu. Slot pertama adalah Latihan Kawad Kaki yang juga merupakan slot wajib bagi setiap minggu. Slot ke-2 pula adalah merupakan aktiviti-aktiviti dan latihan bagi meningkatkan kemahiran serta ilmu ahli-ahli KRS seperti Latihan Abseilling, Bantu Mula, Kompas & Orienteering, Latihan Asas Ikhtiar Hidup dan sebagainya. Berikut adalah merupakan serba sedikit susun atur dan aktiviti yang dijalankan di setiap Latihan Mingguan KRS SMKRA :
* Semua ahli KRS Putera & Puteri perlu hadir selewat-lewatnya 10 minit sebelum pukul 8.00 pagi. Aktiviti akan dimulakan dengan sesi "Mencatit Kehadiran" yang diambil oleh Jurulatih Bertugas. Selesai mencatit kehadiran, semua ahli KRS akan ke surau sekolah bagi menunaikan solat sunat Dhuha. Selesai sahaja bersolat, semua ahli KRS akan berkumpul di hadapan Dewan Sri Murni bagi upacara pembukaan.
* Upacara pembukaan diadakan didahului dengan menjemput jurulatih untuk membacakan doa, kemudian semua ahli akan bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku diikuti dengan lagu KRS, kemudian jurulatih akan memimpin bacaan Ikrar KRS. Selesai sahaja upacara pembukaan, barisan jurulatih akan memeriksa tahap kebersihan dan kekemasan diri ahli-ahli dibawahnya diantaranya memastikan rambut pendek bagi putera, kuku telah dipendekkan, kasut telah dikilatkankan dan sebagainya.
* Setelah itu, semua ahli KRS akan dipecahkan kepada 2 kumpulan besar dan setiap kumpulan besar akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil bagi menjalani latihan kawad kaki. Kumpulan besar pertama adalah terdiri daripada ahli KRS yang telah mahir dengan kawad kaki manakala satu kumpulan lagi adalah merupakan kumpulan ahli KRS tingkatan 1 yang masih baru mempelajari latihan kawad kaki. Latihan kawad ini dijalankan selama 2 jam dan latihan ini dikendalikan sepenuhnya oleh Barisan Jurulatih Putera & Puteri tingkatan 4.
* Selesai latihan kawad kaki, semua ahli diberi peluang untuk berehat selama setengah jam.
* Setelah tamat sesi rehat, ahli KRS akan menjalani aktiviti untuk slot yang ke-2. Slot ini bertujuan bagi meningkatkan lagi ilmu serta kemahiran ahli KRS berkaitan ilmu-ilmu dan kemahiran yang terdapat dalam pasukan KRS seperti Abseilling, Bantu Mula dan sebagainya. Latihan ini juga memakan masa selama 2 jam dan dikendalikan sepenuhnya oleh Barisan Jurulatih KRS ting. 4
* Setelah selesai latihan, semua peserta akan berhimpun semula untuk sesi terakhir sebelum pulang ke rumah masing2. Dalam perhimpunan ini, wakil jurulatih akan memberi sepatah dua kata dan mengulas latihan yang telah dijalankan. Kemudian, semua ahli akan bersama-sama berselawat ke atas nabi saw dan bersalam-salaman diantara satu sama lain.
Dari sudut kacamata KRS SMKRA, latihan mingguan adalah medan yang terbaik dalam mengukuhkan ikatan ukhwah kekeluargaan dan persahabatan sesama ahli, meningkatkan ilmu dan kemahiran ahli, memberi keyakinan dan semangat yang tinggi kepada ahli, serta melatih ahli-ahli KRS untuk terus menjadi seorang pelajar yang Berilmu, Beriman, Beramal & Berketerampilan.